PUTRAJAYA 8 Okt. - Pendaftaran mendapatkan
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bagi pemohon baharu dan orang bujang
yang layak akan dibuka mulai 1 November ini, kata Menteri Kewangan
Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Menurutnya, pendaftaran boleh dibuat dengan mengisi borang yang
disediakan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pejabat daerah
serta pejabat pembangunan persekutuan selain dalam talian.
Bagi penerima BR1M yang lalu, mereka tidak perlu lagi memohon kerana
akan layak secara automatik menerima BR1M 2.0 yang dijangka diagih awal
tahun depan.
Bagaimanapun, kata beliau, penerima BR1M lalu yang ketua keluarga
mereka meninggal dunia atau berlaku penceraian, diminta mendaftar semula
pada 1 November ini bagi melayakkan mereka menerima bantuan BR1M 2.0.
"Namun kami tetap buat pemeriksaan, mungkin ada yang perlu
pengubahsuaian, mungkin ada kes-kes penerima BR1M tahun ini yang dah
meninggal dunia. Kalau ketua keluarga dah meninggal, isteri masih boleh
ambil (BR1M 2.0)," katanya," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di
sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri
Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BR1M 2.0 yang turut
diperluaskan kepada orang bujang berusia 21 tahun ke atas dengan
pendapatan bulanan kurang RM2,000 yang melayakkan mereka menerima RM250.
Bagaimanapun pelajar institusi pengajian tinggi tidak layak menerima
BR1M 2.0 sebaliknya mereka akan menerima Baucar Buku 1Malaysia juga
bernilai RM250.
BR1M tahun ini menyaksikan kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM500
kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang
dimanfaatkan oleh 4.2 juta isi rumah membabitkan peruntukan kira-kira
RM2.2 bilion.
BR1M 2.0 pula membabitkan peruntukan RM3 bilion dengan tambahan penerima kira-kira 2.7 juta individu bujang.
Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata mereka yang tercicir daripada senarai BR1M yang lalu juga layak memohon BR1M 2.0.
Menurutnya, golongan warga emas yang tinggal sebatang kara turut layak menerima bantuan tersebut.
''Samalah dengan isi rumah yang gagal menerima bantuan BR1M 1.0 atas sebab-sebab tertentu,'
Kata beliau, bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menerima
BR1M 2.0, kementerian itu akan membuat semakan dengan agensi berkaitan
seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan LHDN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sudi sudi lah komen...